Jumaat, 23 April 2010

pantun hari ini...

pisau raut

1.

Pisau raut hilang di rimba
pakaian anak raja di juddah
karam di laut boleh ditimba
karam di hati bila sudah


belalang kunyit

2.

Berburu ke padang datar
dapat rusa berbelang kaki
jika berguru kepalang ajar
ibarat bunga kembang tak jadi

1. nak mengambarkan pisau raut
2. rusa berbelang kaki- belalang kunyit.

Selasa, 23 Mac 2010

Penanda Wacana

Penanda Wacana penting untuk menjadikan sesebuah karangan mempunyai kekuatan dan kelihatan menarik. Berikut antara penanda wacana yang boleh digunakan mengikut perananya.



1. Penanda permulaan karangan

a) Pada era globalisasi ini,
b) Pada zaman pascakemerdekaan ini,
c) Dalam meniti arus kemodenan ini,
d) Dewasa ini,
e) Pada masa ini,
f) Kini,
g) Dasawarsa ini,
h) Dalam meniti kehidupan pada marcapada,
i) Sejak sedekad yang lalu,
j) Sejak negara menikmati arus kemerdekaan,
k) Kebelakangan ini,
l) Belakangan ini,
m) Sejak akhir-akhir ini,

2. Penanda memulakan isi baharu
a) Selain itu,
b) Di samping itu,
c) Sementara itu,
d) Lebih-lebih lagi,
e) Dalam pada itu,
f) Lain daripada itu,
g) Pada waktu yang sama,
h) Dalam pada itu,
i) Seterusnya,

3.Penanda huraian isi karangan
a) Hal ini demikian kerana
b) Hal ini berlaku kerana
c) Hal ini terjadi kerana
d) Hal ini disebabkan oleh
e) Hal ini wujud akibat daripada
f) Hal ini bersangkut-paut dengan
g) Hal ini berpunca daripada
h) Hal ini tercetus apabila
i) Hal ini timbul apakala

4.Penanda memberi contoh dalam karangan
a) Misalnya,
b) Contohnya,
c) Sebagai contoh,
d) Tamsilnya,
e) Sebagaimana yang kita sedia maklum,
f) Antaranya adalah seperti

5. Penanda menghuraikan contoh
a) Hal ini mengakibatkan
b) Hal ini menyebabkan
c) Oleh itu,
d) Maka,
e) Oleh hal yang demikian,
f) Oleh sebab itu,
g) Jelaslah bahawa
h) Justifikasinya,

6.Penanda menutup isi
a) Kesannya,
b) Natijahnya,
c) Akibatnya,
d) Akhirnya,
e) Dengan itu,
f) Dengan berbuat demikian,
g) Dengan keadaan sedemikian,

7.Penanda menulis dua huraian dalam satu ayat
Contoh:
Masalah sosial yang dibincangkan oleh masyarakat ini memang memeningkan kepala
(Huraian 1) _(x)_ membimbangkan semua pihak. (Huraian 2)

a) justeru
b) malah
c) malahan
d) tambahan pula
e) sementelahan
f) sekali gus
g) di samping
h) bahkan
i) malar-malar

8. Penanda memulakan perenggan penutup
a) Kesimpulannya,
b) Intihanya,
c) Secara tuntas,
d) Konklusinya,
e) Sebagai penutup wacana,
f) Sebagai penghias bicara akhir,
g) Sebelum mengakhiri wacana ini,
h) Secara keseluruhan,
i) Secara total,

9. Penanda menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza
a) Walau bagaimanapun,
b) Walakin begitu,
c) Namun demikian,
d) Daripada perspektif yang berbeza,
e) Jika dilihat dari sudut lain,
f) Dengan kata lain,
g) Kontradiksinya,
i) Di sebalik itu,
j) Dalam pada itu,
k) Dari sudut lain,

10. Penanda memulakan atau memasukkan peribahasa
a) Bak kata peribahasa, .......
b) Bak kata peribahasa Melayu, ............
c) Bak kata orang tua-tua, ...........
d) Bak kata mutiara, .........
e) Bak peribahasa, ............
f) Bak kata cendekiawan, .............
g) Persis kata peribahasa, ............
h) Persis kata peribahasa Melayu, .............
i) Persis kata orang tua-tua, ............
j) Persis kata mutiara, ............
k) Persis peribahasa, ...............
l) Persis kata cendekiawan, .............
m) Hal ini sama dengan peribahasa ..........
n) Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni .......
o) Fenomena ini dikatakan
p) Masalah ini sama dengan peribahasa ...........
q) Saya yakin rakyat
Malaysia mengenali peribahasa .......

Rabu, 17 Mac 2010

Asal Usul Bahasa Melayu


Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.

Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:

1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.

Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.

2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.

3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.

4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.

Asal Usul Bangsa Melayu

Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan.

Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto.

Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi)

Keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.

Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro

Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Massihi.

Keturunannya orang Melayu di Malaysia

Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto.

Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.

Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto.

Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.

Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia.

Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.


Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China (rujuk carta alir di atas).

Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Perkembangan Bahasa Melayu

Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:

  • Bahasa Melayu Kuno,
  • Bahasa Melayu Klasik dan
  • Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno

Merupakan keluarga bahasa Nusantara

Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran.

Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera.

Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:

  • Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
  • Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
  • Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:

  • Pengaruh agama Hindu
  • Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
  • Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.

Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:

  • Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
  • Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
  • Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
  • Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)

Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.

Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:

  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
  • Susunan ayat bersifat Melayu
  • Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
  • bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  • Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik

Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13.

Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.

Terdapat tiga batu bersurat yang penting:

a. batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)

  • ditulis dalam huruf India
  • mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit.
  • bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.

b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)

  • masih memakai abjad India
  • buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat

c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)

  • ditulis dalam tulisan Jawi
  • membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.

Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Bahasa Melayu Klasik

Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:

  • Zaman kerajaan Melaka
  • Zaman kerajaab Acheh
  • Zaman kerajaan Johor-Riau

Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.

Ciri-ciri bahasa klasik:

  • ayat: panjang, berulang, berbelit-belit.
  • banyak ayat pasif
  • menggunakan bahasa istana
  • kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
  • banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
  • ayat songsang
  • banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''

Bahasa Melayu Moden

Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.

Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.

Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.

Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

Jumaat, 22 Januari 2010

PENDAHULUAN KARANGAN

Pendahuluan penting dalam sesebuah karangan. Antara jenis-jenis pendahuluan yang boleh dijadikan panduan .

1. Pendahuluan Jenis Definisi
2. Pendahuluan Jenis Pendapat
3. Pendahuluan Jenis Suasana
4. Pendahuluan Jenis Persoalan
5. Pendahuluan Jenis Peribahasa
6. Pendahuluan Jenis Sejarah
-------------------------------------
Tajuk : Isu Penderaan (Pendahuluan Jenis Definisi)

Dera bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman. Mendera bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. Penderaan pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya, penderaan terbahagi kepada dua jenis, iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Berdasarkan kajian, banyak terdapat punca yang menyebabkan perbuatan ini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

Tajuk : Kepentingan Bahasa Inggeris ( Pendahuluan Jenis Pendapat)

Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawakita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau berkata bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. menurut beliau, bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.

Tajuk : Gambaran Tentang Kemalangan Ngeri Rumah Tertimbus

Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Namun begitu saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.

Tajuk : Isu Kemalangan Jalan Raya ( Pendahuluan Jenis Persoalan)

Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada-ada sahaja kemalangan jalan raya yang dilaporkan di media massa? Hal ini amat membimbangkan terutamanya menjelang musim perayaan. Siapakah yang patut dipersalahkan, pengguna jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

Tajuk :Rencana "Perpaduan Asas Kemajuan" (Pendahuluan Jenis Peribahasa)

Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu kaya dengan peribahasa yang meliputi semua aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menekankanaspek kerjasama dan perpaduan termasuklah "Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni", "Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah", "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", "Bagai aur dengan tebing", dan Ibarat Telur sesangkar, pecah sebiji pecah semua". Semua peribahasa yang dinyatakan itu sebenarnya membawa konsep kerjasama dan perpaduan yang utuh antara ahli dalam masyarakat. Konsep ini perlu diamalkan sepanjang masa kerana perpaduan asas kemajuan sesebuah negara.

Tajuk: Kemerosotan Sukan Bola Sepak ( Pendahuluan Jenis Sejarah)

Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an, dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kita setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?

Isnin, 19 Oktober 2009

Novel Pahlawan Pasir Salak

Soalan 1 :

Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan sinopsis novel tersebut.
[ 10 markah ]
Jawapan


Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Novel ini mengisahkan kebencian penduduk Kampung Pasir Salak terhadap kedatangan Inggeris yang ingin menjajah negeri Perak. Ketokohan Datuk Maharaja Lela selaku penghulu di kampung Pasir Salak dengan dibantu oleh tenaga-tenaga muda seperti Deli, Akub, dan Lamin telah berjaya menghalang niat askar-askar Inggeris untuk menawan Pasir Salak. Darah kepahlawanan Melayu yang dimiliki jelas meniupkan semangat juang tinggi yang tidak merelakan bumi mereka dijajah.
Walaupun terdapat orang Melayu sendiri yang menjadi tali barut dan anjing penjajah, namun mereka telah berjaya dikalahkan. Kematian Residen Inggeris, J.W.W Birch yang datang untuk memungut cukai di Pasir Salak benar-benar telah menaikkan lagi semangat pengikut-pengikut Datuk Maharaja Lela untuk terus mempertahankan tanah tumpah darah mereka.
Dengan peristiwa itu, pihak Inggeris telah menghantar pasukan tenteranya yang lengkap bersenjata serta meriam untuk menawan Kampung Pasir Salak. Kedatangan tentera Inggeris ini telah pun dinanti-nantikan dengan perancangan peperangan oleh Datuk Maharaja Lela dan anak buahnya. Peperangan telah meletus dan akhirnya pihak Inggeris telah berjaya ditewaskan dengan kebijaksanaan serta kepahlawanan Datuk Maharaja Lela dan penduduk Kampung Pasir Salak.


Soalan 2 :

Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tema dan persoalan yang terkandung dalam novel tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Novel ini bertemakan semangat perjuangan menentang penjajah. Perjuangan ini dapat dikesan menerusi perwatakan Deli, Lamin, Akub, Datuk Maharaja Lela dan beberapa orang watak yang lain. Mereka membakar pondok mengutip cukai, enggan membayar cukai, membunuh Residen Birch dan menentang Inggeris yang menyerang Pasir Salak.
Persoalan pertama ialah tekanan penjajah. Buktinya, penjajah mengenakan cukai yang tinggi sehingga menyebabkan penduduk berasa tertekan. Mereka juga merampas hasil Pak Wan.
Persoalan kedua ialah perasaan dendam. Buktinya, Deli mendendami Lamsah yang mengkhianati penduduk Pasir Salak. Pada mulanya Lamsah berbaik-baik dengan penduduk Pasir Salak tetapi akhirnya bertindak membakar pondok kawalan yang dibina oleh orang kampung.
Persoalan ketiga ialah kepimpinan yang berkesan. Datuk Maharaja Lela merupakan seorang Ketua Kampong Pasir Salak yang memperlihatkan cara beliau memimpin dengan penuh kesabaran di samping perancangan yang teliti sehingga menyelamatkan Pasir Salak daripada menjadi mangsa penjajah.
Persoalan keempat ialah muafakat membawa berkat. Oleh sebab penduduk Pasir Salak sentiasa hidup dalam keadaan saling membantu dan muafakat, mereka bekerjasama membina pondok kawalan dan membuat rondaan.

Soalan 3:

Huraikan Watak dan perwatakan bagai watak utama berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]


Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Watak utama novel ini ialah Datuk Maharaja Lela. Beliau merupakan penghulu Kampung Pasir Salak. Di rumah beliau terdapat gelanggang silat bagi melatih anak-anak muda kampung. Beliau seorang yang berpengalaman mentadbir kampungnya sehingga disegani oleh penduduk.
Beliau seorang yang mencintai tanah air. Buktinya, beliau sentiasa memberi kata-kata semangat kepada penduduk Pasir Salak supaya berjuang mempertahankan kedaulatan Pasir Salak. Beliau juga melarang penduduk kampung membayar cukai.
Selain itu., beliau juga seorang yang berani. Tindakannya yang nekad dan tidak menghiraukan penjajah Inggeris dengan membakar pondok mengutip cukai dan mengoyak surat kenyataan mengutip cukai sudah cukup membuktikan keberaniannya.
Tambahan pula, beliau seorang yang berhati-hati dan tidak terburu-buru. Beliau mengambil tindakan mengikut pemikiran, bukannya perasaan. Beliau tidak membenarkan pengikut-pengikutnya bertindak melulu terhadap wakil-wakil Inggeris yang membina pondok mengutip cukai.
Lebih-lebih lagi, beliau pandai merancang strategi. Datuk Maharaja Lela pintar menghadapi serangan pihak Inggeris. Beliau menyuruh pengikut-pengikutnya membina kubu di Bandar Tua untuk menghadapi serangan musuh.



Soalan 4 :

Huraikan empat watak dan perwatakan watak sampingan berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Watak sampingan pertama ialah Pak Itam. Dia merupakan bapa kepada Deli dan pembantu Datuk Maharaja Lela semasa melatih anak-anak muda bersilat. Dia seorang yang amat menghormati ketuanya, Datuk Maharaja Lela. Pak Ita juga merupakan seorang yang tegas. Dia tegas semasa mendidik anaknya, Deli. Selain itu, Pak Itam juga seorang yang mencintai tanah air. Dia berjuang dan bersemangat tinggi menentang penjajah. Dia juga bersemangat tinggi menghadapi kedatangan Inggeris.
Watak Sampingan kedua ialah Pak Wan. Dia digambarkan sebagai seorang yang sudah berumur tetapi menghormati jiwa anak-anak muda. Dia ialah bapa saudara Lamin. Dia seorang yang sensitif. Hal ini demikian kerana dia berasa sedih apabila mengenangkan anaknya, Mat Nor yang meninggal dunia akibat dipatuk ular. Dia seorang yang rajin. Dia menghulurkan bantuan semasa membina pondok kawalan dan kubu pertahanan di samping rajin meronda.
Watak sampingan ketiga ialah Mamat. Dia merupakan abang saudara Deli yang baru berumah tangga yang tinggal di Bandar Bharu. Dia mencintai tanah air. Buktinya, dia sering menyampaikan maklumat dari Bandar Bharu kepada Pak Itam dan Datuk Maharaja Lela tentang rancangan Inggeris yang hendak menguasai Pasir Salak.
Watak sampingan yang memainkan peranan yang agak penting ialah Seputum. Walaupun wataknya hanya muncul sekali-sekala, Dia merupakan pahlawan yang bersemangat tinggi. Datuk Maharaja Lela yang yakin akan kebolehannya telah menyebabkan dia menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, yakni membunuh Residen Birch. Dia seorang pejuang yang memiliki semangat cinta akan tanah air. Keberanian yang ada pada watak Seputum wajar kita contohi.


Soalan 5 :
Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan plot atau jalinan peristiwa dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan


Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Plot novel ini dijalin menurut kronologi. Pada bahagian pengenalan cerita atau eksposisi, pengarang memperkenalkan watak Deli, Pak Itam, Lamin, Akub dan juga Datuk Maharaja Lela. Mereka adalah watak-watak yang menetap di Pasir Salak, iaitu tempat yang menjadi fokus utama pengarang dalam novel ini.
Pada bahagian perkembangan cerita, pengarang menceritakan masalah yang dihadapi oleh penduduk Pasir Salak, yakni ancaman Inggeris yang sudah mula bertapak di Perak. Dijelaskan juga mengenai peranan Deli, Akub, dan Lamin yang bersemangat tinggi dalam menentang Inggeris.
Pada bahagian perumitan cerita atau konflik, pengarang menceritakan usaha-usaha Inggeris menguasai Pasir Salak. Mereka menghantar wakil menampal surat kenyataan mengutip cukai dan membina pondok mengutip cukai. Kedatangan Residen Birch bersama-sama askar Sipahi juga merupakan konfliknya, tetapi dapat ditangani oleh penduduk Pasir Salak.
Pada bahagian puncak atau klimaks cerita, Residen Birch telah mati dibunuh oleh Seputum dan Mat Arshad mati dibunuh Pak Endut ketika mereka datang ke Pasir Salak untuk menampal surat-surat kenyataan memungut cukai. Lantaran itu, Lamsah berjaya terjun ke dalam sungai lalu melarikan diri.
Pada bahagian peleraian atau pengakhiran cerita, cerita disampaikan begitu antiklimaks. Buktinya, anggota Inggeris yang lengkap dengan meriam dan senjata api bersama-sama Lamsah yang ditugaskan sebagai penunjuk jalan akhirnya telah berjaya ditewaskan oleh Datuk Maharaja Lela dan anak-anak buahnya.


Soalan 6:

Teknik plot atau teknik penceritaan memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan teknik plot berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Teknik penceritaan pertama ialah imbas kembali. Imbas kembali ialah mengingati sesuatu peristiwa atau perkara yang telah berlaku. Buktinya, Pak Wan berasa sedih apabila mengenangkan anaknya, Mat Nor yang meninggal dunia akibat dipatuk ular.
Teknik plot kedua ialah imbas muka. Imbas muka ialah pengarang memberi gambaran atau ramalan tentang sesuatu yang bakal berlaku. Buktinya, Deli dan Mamat dapat membayangkan bahawa peperangan akan berlaku sekiranya Inggeris datang ke Pasir Salak.
Teknik plot ketiga ialah monolog. Monolog ialah pengucapan secara senyap oleh watak kepada diri sendiri, orang lain atau pembaca. Bukti penggunaan teknik ini ialah ketika Deli yang hanya tersenyum apabila menerima kedatangan Lamsah. Dia seolah-olah sedang berfikir tentang sikap Lamsah yang seperti ada udang di sebalik batu daripada pertemuan kali pertama itu.
Teknik seterusnya ialah monolog dalaman. Monolog dalaman bermaksud bicara hati atau watak menyatakan perasaannya dalam hati tanpa mengeluarkan sebarang kata-kata. Dalam novel ini, pengarang menggunakan teknik ini ketika Deli melihat orang yang sedang berkayuh di dalam perahu menuju ke pangkalan. Antara petikannya ialah: “Siapa pula tu?” bisik Deli sambil mengecilkan matanya; memandang ke arah perahu.

Soalan 7:

Huraikan latar tempat berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa yang berlaku di tempat-tempat yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Latar tempat pertama ialah rumah Datuk Maharaja Lela. Buktinya, tempat ini menjadi tempat anak-anak muda berlatih silat. Di sini juga penduduk Pasir Salak selalu berkumpul untuk mendengar ucapan daripada Datuk Maharaja Lela.
Latar tempat kedua ialah warung Pak Itam. Di sinilah berlakunya pergaduhan antara Deli dan rakan-rakannya dengan wakil Inggeris yang ingin mengutip cukai daripada Deli yang membuka warung di situ.
Latar tempat ketiga ialah sungai. Buktinya, Residen Birch mati dibunuh oleh Seputum di situ.
Latar tempat keempat ialah rumah Pak Itam. Buktinya, Deli menceritakan kepada ayahnya mengenai peristiwa Lamin dan Pak Wan diserang oleh anjing penjajah.
Latar tempat seterusnya ialah pondok kawalan. Pondok kawalan ini terletak berhampiran pangkalan. Di sini, Deli, Lamin, dan Akub mengawal keselamatan mengikut giliran. Mereka ingin memastikan keselamatan penduduk Pasir Salak.

Soalan 8:
Huraikan latar masa berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa yang berlaku pada masa yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Jarak masa sepanjang perjalanan cerita novel ini ialah lebih kurang 8 bulan iaitu bermula pada bulan Mac 1875 hingga 7 November 1875. Cerita bermula dengan peristiwa Deli membantu Pak Itamnya di warung dan cerita berakhir di rumah Datuk Maharaja Lela selepas pihak Inggeris berundur.
Perjalanan cerita berlangsung pada zaman penjajahan Inggeris di tanah Melayu. Pada 1875, Residen Birch memaksa Sultan Perak menandatangani Perjanjian Pangkor yang membolehkan pihak Inggeris mengutip cukai di negeri Perak.
Pada waktu malam pula. Biasanya penduduk kampung berkumpul di rumah Datuk Maharaja Lela dan mendengar nasihat daripada beliau. Anak-anak muda juga berlatih silat pada waktu sebegini.
Waktu pagi juga merupakan latar masa yang agak penting. Pada waktu tersebut, Deli, Lamin, dan Akub membina pondok kawalan di pinggir sungai Perak.
Pada lewat petang dan senja, Biasanya Deli membantu bapanya Pak Itam menutup warung. Pada ketika itulah Deli terlihat Pak Wan yang tercedera dipapah oleh Lamin kerana cedera dipukul anjing penjajah.

Soalan 9:
Huraikan latar masyarakat atau citra masyarakat yang digunakan oleh pengarang dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Latar masyarakat pertama ialah masyarakat penduduk kampung. Contohnya, semua penduduk di Kampung Pasir Salak ialah penduduk kampung yang diketuai oleh Datuk Maharaja Lela.
Latar masyarakat kedua ialah masyarakat remaja dan dewasa. Contohnya, Deli, Lamin, Akub, dan Lamsah adalah antara golongan remaja manakala Datuk Maharaja Lela, Pak Itam, Pak Wan, Pak Endut merupakan contoh masyarakat dewasa.
Masyarakat asing juga ada. Bukitnya, askar Inggeris, Askar Sipahi, dan pembesar-pembesar Inggeris seperti Kapten Innes, Nakhoda Orlong, dan Residen Birch ialah orang asing.
Latar masyarakat keempat ialah masyarakat yang menderhaka kepada tanah air. Buktinya, Lamsah dan Mat Arshad ialah antara tali barut atau anjing penjajah yang menderhaka kepada tanah air sendiri.
Latar masyarakat seterusnya ialah masyarakat bandar. Buktinya, Mamat yang tinggal di Bandar Bharu. Dia mencintai tanah air. Buktinya, dia sering menyampaikan maklumat dari Bandar Bharu kepada Pak Itam dan Datuk Maharaja Lela tentang rancangan Inggeris yang hendak menguasai Pasir Salak.

Soalan 10:

Huraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Nilai pertama ialah kasih sayang. Buktinya, Pak Wan amat menyayangi anaknya, Mat Nor. Dia masih terkenangkan anaknya itu walaupun Mat Nor telah meninggal dunia setahun yang lalu.
Nilai kedua ialah cinta akan tanah air. Buktinya, penduduk Kampung Pasir Salak berani menentang angkatan Inggeris, walaupun mereka tidak mempunyai senjata-senjata moden.
Nilai ketiga ialah hormat-menghormati. Buktinya, penduduk Pasir Salak amat mentaati dan menghormati ketua mereka, Datuk Maharaja Lela.
Nilai keempat ialah kerajinan. Bukitnya, Deli rajin membantu ibu bapanya di warung. Selain itu, penduduk Pasir Salak juga rajin membina pondok kawalan dan berkawal mengikut giliran.
Nilai seterusnya ialah taat beragama. Buktinya, Deli digambarkan sebagai seorang remaja yang tidak pernah meninggalkan sembahyangnya. Nilai-nilai yang ditunjukkan dalam novel ini wajar kita teladani.



Soalan 11:

Huraikan pengajaran atau mesej yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Pengajaran pertama ialah kita perlu mempertahankan tanah air daripada dijajah. Sebagai anak jati negara ini, adalah menjadi tanggungjawab kita mempertahankan kemerdekaan. Sikap dan semangat yang ditunjukkan oleh Datuk Maharaja Lela dan penduduk Pasir Salak yang sentiasa menentang rancangan dan kehendak Inggeris patut kita contohi.
Pengajaran kedua ialah kita tidak patut menderhaka kepada tanah air. Hal ini demikian kerana menderhaka kepada tanah air ialah perbuatan yang keji. Misalnya, Lamsah dan Mat Arshad yang menderhaka kepada tanah air akhirnya dibunuh dengan sia-sia.
Pengajaran ketiga ialah kita patut membantu orang yang ditimpa kesusahan. Tindakan Deli menolong Pak Wan yang dipukul oleh “anjing penjajah” dan tindakannya yang pernah menyelamatkan Lamsah patut kita teladan.
Pengajaran keempat ialah kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan semua pekerjaan. Bukitnya, sikap penduduk Pasir Salak yang sentiasa bekerjasama dalam segala hal, terutamanya semasa bekerjasama membina pondok kawalan dan bekerjasama mengawal serta menentang Inggeris. Berkat usaha dan kerjasama, mereka telah berjaya mengalahkan angkatan Inggeris yang menyerang Kampung Pasir Salak.
Pengajaran seterusnya ialah kita mesti taat kepada ibu bapa. Hal ini demikian kerana mentaati ibu bapa adalah dituntut agama. Oleh itu, sikap Deli yang rajin menolong ibu bapanya serta menghormati ibu bapanya perlu kita jadikan teladan.


Soalan 12:

Huraikan gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]

Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Pahlawan Pasir Salak, karya Mohd. Ismail Sarbini. Gaya bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam sesuatu karya. Gaya bahasa pertama ialah simile. Antara contoh simile yang terdapat dalam novel ini ialah Dia menghela nafas panjang-panjang seperti orang yang baru lepas dikejar harimau.

Gaya bahasa kedua ialah metafora. Buktinya Udara yang dingin berubah menjadi panas dibakar api bencikan Inggeris. Api ialah unsur konkrit manakala bencikan Inggeris ialah unsur abstrak.

Gaya bahasa ketiga ialah perulangan. Buktinya:
“Bertenang. Bertenang saudara-saudaraku. Bertenanglah,” kata Datuk Maharaja Lela. Perkataan bertenang diulang sebanyak 3 kali.

Gaya bahasa keempat ialah personifikasi atau unsur perorangan. Contohnya, Malam itu bulan agak pucat di balik awan. Dalam contoh tersebut, bulan digambarkan seperti sifat manusia, iaitu pucat.

Gaya bahasa seterusnya ialah peribahasa. Antara peribahasa yang digunakan dalam novel ini ialah simpulan bahasa. Bukitnya, anak tunggal, gigi air, memasang telinga, tali barut, sakit mata, mengambil berat dan banyak lagi.

bahas